Penembak negara, Ezuan Nasir Khan, kecewa skuad rifle diketepikan daripada menyertai Piala Dunia di New Delhi, India yang turut menawarkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, dengan Malaysia hanya diwakili dua penembak pistol.

Hanya Jonathan Wong dan Nur Alia Sazana Azahari dihantar menyertai Piala Dunia New Delhi yang sedang berlangsung ketika ini.

Tiket kelayakan Sukan Olimpik Tokyo bergantung kepada prestasi mereka sepanjang empat siri Piala Dunia dan Kejohanan Asia di Doha, Qatar, November depan.

Namun, penembak rifle perlu menunggu lebih lama selepas kali terakhir menyertai kejohanan antarabangsa, September tahun lalu.

"Kejohanan itu sangat penting bagi mengekalkan kualiti bidikan kami. Jika lama tidak menyertai kejohanan antarabangsa, ia akan menjejaskan persembahan kami," kata Ezuan.

"Kami memang berharap untuk beraksi dalam Sukan Olimpik kerana menjalani latihan seperti biasa," kata penembak rifle negara, Shahira Rahim Raja.

Sukan Olimpik Rio 2016 menyaksikan Jonathan muncul wakil tunggal skuad menembak negara.

Bagaimanapun, dia terkandas seawal peringkat kelayakan.

Penembak rifle juga perlu menunggu lebih lama apabila kejohanan sulung tempatan tahun ini, Trofi Ally Ong, yang sepatutnya bermula 5 Mac depan terpaksa dibatalkan ekoran penutupan Lapang Sasar Menembak Kebangsaan, Subang.