Kasih bapa mendukung Tiger Woods untuk muncul sebagai legenda golf dunia, kasih yang sama dilimpahi buat bakat remaja negara, Ezekiel Suzearitz.

Sepanjang kerjayanya, Woods membawa nama bapanya, Earl, sebagai sandaran utama kejayaan sejak kali pertama muncul juara remaja dunia ketika berusia 18 tahun pada 1984.

Di Malaysia, Suzearitz Suhimi pula memainkan peranan sama buat anaknya, Ezekiel, yang memegang status sebagai pemain nombor satu bawah 10 tahun kebangsaan.

Gandingan itu di landasan tepat untuk membuat penampilan dalam Kejohanan Remaja Dunia di San Diego, Amerika Syarikat, bulan depan, selepas dua kali berputih mata gara-gara kekangan kewangan.

"Daripada segi permainan, saya tidaklah sehebat bapa Tiger Woods, Earl.

"Saya percaya Ezekiel mempunyai bakat dan jika tidak, tidak perlulah saya membuang masa.

"Saya harap kami boleh bergandingan lebih lama untuk perjalanan golfnya tetapi mungkin pada satu masa kelak, saya perlu melepaskannya untuk dibimbing individu yang lebih layak," kata Suzearitz.

Meskipun pembangunan golf peringkat akar umbi Malaysia tidak sehebat negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, Suzearitz tetap tidak patah semangat untuk memastikan anaknya memenuhi potensi untuk satu hari kelak menjadi sandaran utama negara.

"Dia mempunyai bakat, cuma kita perlu bersabar sedikit kerana fizikalnya belum mencapai tahap yang sepatutnya.

"Saya menjangkakan dia mampu menyerlah memandangkan seawal umur tiga tahun, dia sudah memukul bola dan pada usia lima tahun, dia mula menyertai kejohanan dan setahun selepas itu, menaiki podium.

"Dia kini mendominasi saingan dalam kategori lapan, sembilan dan 10 tahun," katanya lagi.