Riak wajah bekas raja pecut negara, Watson Nyambek, jelas bergetar menahan marah.

Justeru, tidak hairanlah sebentar tadi beliau tanpa banyak bicara menolak permohonan maaf daripada pihak Primeworks Studios Sdn Bhd berhubung insiden nama bapanya dipermain seperti kambing.

Mimik tersebut dilakukan oleh pengacara, Azizul Ammar Abu Hassan, dalam rancangan "Sukan Tak Sentral" yang disiarkan di TV3 dua hari lalu.

Dalam sidang media yang dihadiri kedua-dua pihak, dengan Primeworks Studios diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Izham Omar, Watson menjelaskan dia masih tidak dapat menerima penghinaan itu.

"Sekarang saya hendak jelaskan di sini, walaupun mereka meminta maaf di hadapan anda semua (media), di tv serta di depan rakyat Malaysia, khasnya di Sarawak, kepada saya, saya sekarang ini sukar hendak menerima maaf tersebut.

"Ini kerana bapa saya ini dipandang seperti seekor haiwan. Apa perasaan saya dan bagaimana perasaan anda semua?

Katanya, untuk ketika ini, hatinya belum terbuka untuk memberikan kemaafan.

"Mungkin suatu masa nanti, hati saya terbuka, dan saya akan menerima kemaafaan ini.

"Jadi sekarang saya belum hendak menerima maaf tersebut."

Tegasnya, beliau telah membuat laporan polis pada pagi tadi kerana perkara tersebut bukan perkara main-main atau lawak.

"Saya akan teruskan perjuangan saya mendapatkan keadilan," katanya yang akan mendapatkan khidmat guaman untuk menentukan langkah seterusnya.

Watson, 41, dan isterinya, Fellizia Michael Samdom, sebelum itu hadir dalam rundingan damai dan maaf yang ditangani oleh Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lain Bujang, di Hotel Grand Palace.

Ahmad Izham sebelum itu mengumumkan bahawa program tersebut telah ditamatkan siarannya serta-merta manakala pengacara Azizul Ammar digantung daripada siaran untuk tempoh yang tidak dinyatakan.

Penerbit program dan kru yang terlibat turut menerima tindakan, yang belum diputuskan.

Ahmad Izham berkata pihaknya akan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam siaran saluran TV3 sebagai menyatakan kekesalan terhadap insiden yang diistilahkan "tragedi penyiaran" itu.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Azizul Ammar sendiri.