Enam atlet Perak menerima tajaan daripada Fitlion Malaysia berikutan kejayaan mengharumkan nama negeri itu dalam sukan masing-masing.

Mereka adalah Mohd Hafiz Shamsuddin (angkat berat), Nur Amisha Azril Rizal (muay thai), Loo Jie Ren (menembak - rifle), Zulzafari Roslan (angkat berat), Nur Nabila Natasha Mohd Nazri (pelayaran) dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi (olahraga).

Pengumuman mengenai tajaan itu dibuat dalam majlis di pejabat Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How.

Menurut Chuan How melalui tajaan itu, Fitlion akan memberikan bantuan daripada segi kewangan serta tajaan makanan nutrisi selama setahun.

"Selain itu, mereka juga akan diberikan bimbingan serta pemantauan rapi bagi mengekalkan efisyen dan keupayaan makanan nutrisi tersebut," kata Chuan How.

Beliau melahirkan perasaan gembira dengan keprihatinan dan pembabitan Syarikat Fitlion Malaysia dalam membina dan membantu pembangunan sukan di negeri Perak.

"Saya mewakili Kerajaan Negeri Perak berasa bangga dapat menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat profesional yang turut sama menyumbangkan kembali kepada negeri melalui tajaan ini.

"Semoga tajaan ini akan membakar semangat atlet-atlet untuk melangkah lebih jauh lagi," ujarnya.