Pemain skuasy, Ng Eain Yow, tidak menghiraukan gelaran nombor 1 negara selagi prestasinya di pentas antarabangsa tidak setaraf pemain elit.

Eian Yow, yang kini di ranking ke-37 dunia, merupakan pemain nombor 1 Malaysia selepas merampas status itu daripada Nafiizwan Adnan.

Ia hadir selepas kejayaannya mengatasi Nafiizwan dalam pusingan kedua Terbuka Macau, minggu lalu, sebelum kecundang dalam suku akhir.

Bagaimanapun, dia menyedari prestasinya dalam kejohanan peringkat antarabangsa lebih penting memandangkan pemain di luar kelompok 30 terbaik dunia tidak akan dianggap sebagai pencabar kejuaraan.

"Saya tidak terlalu menghiraukan tentang status sebagai nombor 1 negara.

"Saya hanya menumpukan terhadap latihan bagi memperbaiki ranking saya.

"Bulan ini, saya jatuh dua kedudukan, jadi ia tidaklah seperti yang saya harapkan.

"Bagimanapun, saya mahu terus memburu keputusan yang baik bagi menempatkan diri dalam kelompok 30 pemain terbaik dunia," katanya.

Mahu atau tidak, Eain Yow perlu menerima hakikat bahawa dia akan memikul tugas sebagai pemain terbaik Malaysia untuk tempoh berpanjangan.

Ia ekoran persaraan yang akan diumumkan Nafiizwan andai menerima tawaran sebagai jurulatih skuad kebangsaan.

"Wan sentiasa menjadi seorang senior dan rakan sepasukan yang hebat.

"Saya pasti akan merinduinya sebagai seorang rakan sepasukan.

"Bagaimanapun, saya masih tidak mengetahui apa perancangannya selepas ini.

"Saya berharap dia akan kekal membantu kami, terutama sebagai jurulatih," tambahnya.