Pemain skuasy negara, Ng Eain Yow, berharap dapat meneruskan rentak konsisten dalam menghadapi baki tiga lagi kejohanan sebelum menutup saingan musim 2017.

Eain Yow mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Malaysia pertama untuk menjuarai Terbuka Australia, minggu lalu, apabila menewaskan pemain tuan rumah, Joshua Larkin.

Ia juga merupakan kejuaraan Jelajah PSA keduanya tahun ini selepas memenangi Terbuka Northern Territory, juga di Australia pada Mei lalu.

Dia selepas ini menjadi sandaran skuad lelaki negara untuk menghadapi Kejohanan Dunia Berpasukan di Perancis selain kejohanan dunia invididu dengan melepasi pusingan kelayakan menjadi sasarannya.

Satu lagi saingan Jelajah PSA di Pakistan pada Disember menjadi pertandingan terakhir buat Eain Yow tahun ini.

"Ini merupakan satu penanda aras yang baik untuk saya. Saya mahu meneruskan momentum ini. Saya berasakan gagal mempamerkan aksi terbaik tetapi kondisi fizikal saya sangat baik, ia amat memuaskan buat diri saya," katanya.

Persembahan cemerlang yang dipamerkan Eain Yow sepanjang tahun ini menyaksikan dia terus dikekalkan dalam Program Podium kendalian Institut Sukan Negara (ISN).

Menyedari cabarannya semakin hebat pada 2018, Eain Yow menyasarkan untuk menguji kemampuannya dalam Sukan Komanwel Gold Coast, Australia terlebih dahulu selain cuba untuk meningkatkan lagi kedudukan ranking dunia.

"Sukan Komanwel adalah satu cabaran yang sukar buat saya. Saya berharap untuk meningkatkan lagi persembahan dan berusaha untuk membawa pulang pingat untuk Malaysia," katanya lagi.