Atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor, tidak akan mengalah, sebaliknya terus berusaha untuk pulih daripada kecederaan agar dapat beraksi dalam Sukan SEA, 19-30 Ogos ini.

Hafifi mengalami kecederaan lutut kiri yang serius selepas cuba melakukan angkatan sehingga 190 kilogram dalam sesi latihan di China, kelmarin.

Sudah pasti hal ini mencetus kebimbangan buat sukan angkat berat memandangkan temasya itu hampir tiba dan enggan kehilangan prospek negara pada saat-saat akhir.

Menyifatkan ia satu dugaan besar tatkala belum pernah meraih sebarang pingat dalam temasya dwi-tahunan itu, Hafifi enggan cepat berputus asa selain memberi tempoh selama sebulan untuk melihat kembali keadaan kakinya.

"Dugaan memang besar sebab dari bulan 11 tahun lalu, saya berlatih tanpa henti. Saya betul-betul fokus untuk mendapatkan pingat emas Sukan SEA.

"Saya pun tidak tahu nak cakap apabila perkara ini berlaku ke atas saya. Allah sahaja yang tahu," katanya.

Atlet berusia 26 tahun itu kini menjalani rawatan susulan di Institut Sukan Negara (ISN) sejurus tiba di tanah air, hari ini.

Dia tidak akan kembali ke China sebaliknya hanya melakukan proses pemulihan sepenuhnya di ISN.

"Bila jumpa doktor di ISN dan membuat imbasan MRI, kemungkinan ada koyak (ligamen) tetapi saya tidak mahu fikir sangat. Saya benar-benar mahu beraksi dalam Sukan SEA," tambahnya.