Atlet lompat jauh negara, Luqman Hakim Ramlan, menyimpan misi besar tahun ini apabila bukan sahaja menyasarkan pingat dalam Sukan SEA Filipina, malah mahu memecahkan rekod kebangsaan berusia 12 tahun.

Luqman kini semakin pulih daripada kecederaan pangkal paha yang dialaminya ketika Sukan Universiti Asean (AUG), Disember lalu.

Sudah mula kembali berlatih awal bulan lalu, Luqman menetapkan sasaran dua misi tahun ini, iaitu memecahkan rekod kebangsaan serta meraih pingat di Filipina nanti.

Rekod kebangsaan adalah 7.88 meter milik Josbert Tinus manakala rekod peribadi Luqman hanya kurang 0.06m sahaja untuk mencapai catatan itu.

"Sudah tentu sempat. Saya turut menyasarkan kelayakan Kejohanan Asia. Ia juga bergantung kepada Terbuka Malaysia," katanya.

"Sekarang masih terasa sakit, terutama ketika melakukan lompatan."

Dalam masa sama, Luqman juga bakal berlatih bersama Muhammad Hakimi Ismail yang kini diletakkan sementara waktu di bawah jagaan jurulatih, Mohd Firdaus Salim.

"Sudah tentu persaingan saya jadi lebih bagus kerana tahap saya dan Hakimi agak berbeza, jadi saya boleh tingkatkan teknik dan kekuatan," tambah Luqman.