Dua kejohanan tempatan bulan depan menjadi sandaran buat atlet olahraga kebangsaan dalam usaha untuk mempersiapkan diri menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast, 4-15 April depan.

Ketiadaan pertandingan di luar negara menyaksikan skuad olahraga kebangsaan mengalami kesukaran untuk mengkekalkan prestasi.

Lantaran itu, jurulatih, M. Balamurugan, mengharapkan saingan Terbuka Wilayah Persekutuan serta Terbuka Perak pada pertengahan Mac ini dapat membantu mereka meraih momentum untuk ke Sukan Komanwel.

"Saya meletakkan sasaran untuk bertanding dalam dua pertandingan buat atlet-atlet yang beraksi dalam Sukan Komanwel nanti," katanya.

Sementara itu, Balamurugan menaruh keyakinan terhadap kemampuan G. Aravin Thevar untuk memperbaiki catatan peribadinya tahun ini.

Aravin antara yang menyerlah dalam kejohanan pra-Sukan Asia di Jakarta baru-baru ini selepas meraih gangsa 200 meter dengan catatan 21.67 saat.

Rekod peribadi atlet berusia 24 tahun itu adalah 21.04s yang dilakukan dalam Terbuka Singapura 2016.

Selain itu, Aravin turut diberi peluang untuk mencuba kemampuan bagi acara 400 meter, dengan Balamurugan melihat dia mempunyai potensi bagi acara berkenaan.

"Saya menyaksikan Aravin memiliki potensi yang besar dalam acara 400m. Persiapan dalam acara ini secara tidak langsung akan membantunya untuk acara 200m," tambahnya.