Doping: Syazrul Adli digantung empat tahun

Oleh Staff Writer 24 Januari 2020 4346
Doping: Syazrul Adli digantung empat tahun
Pelari muda negara, Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli, dikenakan hukuman penggantungan empat tahun selepas Jawatankuasa Siasatan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mendapati dia bersalah kerana menggunakan bahan terlarang jenis steroid.

Awal bulan lalu, Syazrul, yang meraih pingat emas bersama kuartet Johor dalam acara 4x100 meter Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia, Ogos tahun lalu, didapati positif doping selepas menggunakan dua bahan terlarang, methasterone dan oxymetholone, iaitu sejenis steroid anabolik yang mampu untuk merangsang peningkatan prestasi.

Kemenangannya disahkan ditarik balik dan atlet berusia 17 tahun itu mengaku bersalah mengambil bahan terlarang dan telah dikenakan hukuman penggantungan selama empat tahun.

Jurulatih skuad pecut negara, Mohd Poad Kassim, disahkan tidak terlibat dalam hal ini dan dibenarkan untuk meneruskan tugas seperti biasa.

"KOM memandang serius terhadap isu doping dan kami mengikut setiap peraturan yang ditetapkan Agensi Anti Doping Dunia (WADA)," kata Presiden KOM, Datuk S.M. Muthu.

"Syazrul diberikan tempoh untuk membuat rayuan untuk mengurangkan penggantungannya."

Ikuti butiran lanjut dalam Nadi Arena jam 7.30 dan 11 malam ini.



Editor: Ammar Hakim

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen