Novak Djokovic memberikan pujian kepada Alexander Zverev selepas mempamerkan persembahan cemerlang dalam pertembungan final ATP Akhir selepas wakil Jerman itu muncul juara.

Pemain nombor satu dunia, Djokovic, menyasarkan untuk mengulangi rekod kejayaan enam gelaran dalam kejohanan terakhir musim ini tetapi Zverev mengatasinya 6-4, 6-3 bagi meneruskan rentak kemenangan selepas menyingkirkan Roger Federer dalam separuh akhir dengan penuh bergaya.

Ketika Djokovic dan Zverev bertemu dalam peringkat kumpulan di London, pemain Serbia itu melakar kemenangan 6-4, 6-1.

Pemenang grand slam 14 kali itu secara berseloroh mengakui pernah berdepan lawan yang lebih sukar dalam perlawanan final.

"Anda telah bermain dengan lebih baik dalam peringkat kumpulan," kata Djokovic.

"Anda berhak meraih kemenangan ini. Anda masih muda dan telah menikmati perjalanan yang sungguh indah, saya mengucapkan semoga maju jaya pada masa akan datang.

"Saya berharap dapat beraksi untuk beberapa tahun lagi dan tampil dalam kejohanan ini.

"Untuk melakukannya, saya memerlukan pasukan yang terbaik, jadi saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya untuk musim yang berjaya. Hari ini bukanlah yang terbaik buat kami tetapi kebangkitan yang telah berjaya dihasilkan bagi tahun ini merupakan hasil usaha anda semua.

"Akhir sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada anda yang menyokong tenis selama 11 bulan dalam setahun. Ia merupakan musim yang panjang tetapi sokongan yang diberi meningkatkan semangat untuk memberikan yang terbaik di hadapan anda semua," katanya.

Djokovic memenangi Wimbledon dan Terbuka AS bagi tahun ini, termasuk dua gelaran Masters 1000 di Shanghai dan Cincinnati.