Gimnas lelaki negara, Abdul Azim Othman, menganggap tahap disiplin tinggi dalam membahagikan masa menjadi faktor utama kejayaan Farah Ann Abdul Hadi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ratu gimnastik negara berusia 25 tahun itu meletakkan komitmen yang tinggi terhadap tugas sebagai pelajar, atlet dan model.

Dengan disiplin seperti itu, Farah Ann muncul gimnas terbaik negara untuk layak ke pentas tertinggi di Tokyo.

Dia yang mula menyertai sukan gimnastik seawal usia tiga tahun, sudah mengumpulkan empat pingat emas dalam Sukan SEA , masing-masing dua di Singapura pada 2015 dan bakinya di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Kalau ada kelas, dia akan datang (latihan) selepas kelas.

"Maknanya, bila orang lain sudah mula berlatih, dia baru datang kerana kelasnya habis lambat.

"Dia pandai membahagikan masa, dia menghormati masanya.

"Disiplinnya terhadap masa amat tinggi.

"Selain itu ialah pemakanannya.

"Dia mempunyai diet khas untuk latihan dan kejohanan," katanya.