Pemain ragbi profesional negara, K. Dineshwaran, yakin rundingan dengan salah sebuah kelab saingan 'Top League' di Jepun akan dimuktamadkan selewat-lewatnya hujung bulan depan.

Dineshwaran atau lebih dikenali sebagai Dugro mengambil keputusan untuk mencari haluan baru selepas enam tahun bersama Yamaha Jubilo yang turut beraksi dalam kancah 'Top League' Jepun.

Begitupun, dia berkemungkinan akan kekal di Jepun kerana telah menerima tawaran salah sebuah kelab utama Negara Matahari Terbit itu.

Jelas Dugro, tiada langkah terburu-buru dalam proses rundingan berkenaan tetapi percaya akan mencapai persetujuan sebelum April.

Antara pencapaian terbaik Dugro bersama Jubilo ialah menjuarai Kejohanan Seluruh Jepun pada 2016.

"Saya sudah bersama Jubilo selama enam tahun, hubungan kami bagaikan sebuah keluarga.

"Oleh itu, saya berasa berat hati untuk meninggalkan mereka tetapi sebagai pemain profesional, saya perlu memikirkan karier.

"Saya teruja untuk berdepan cabaran seterusnya tetapi buat masa ini rundingan masih berlangsung," katanya.

Dalam pada itu, Dugro juga bertekad untuk memastikan dia tidak terlepas peluang untuk membantu skuad negara dalam Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019.

Tahun lalu, pemain berusia 31 tahun itu terpaksa diketepikan berikutan kecederaan tangan kanan sewaktu beraksi dengan Jubilo.

Namun, kali ini dia percaya dapat menyumbangkan sesuatu buat skuad negara, apatah lagi dengan kehadiran bekas pemain All Blacks, Brad Mika, sebagai ketua jurulatih.

"Pemain Malaysia boleh menimba banyak ilmu daripadanya.

"Brad Mika akan membentuk pemain negara supaya berusaha lebih gigih dan bijak.

"Saya tidak sabar-sabar lagi untuk berlatih di bawah bimbingnya," katanya lagi.