Ketua jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong, dalam dilema sama ada mahu melakar sejarah sebagai jurulatih pertama di Malaysia mempunyai lesen profesional dalam sukan futsal ataupun mengutamakan tanggungjawab dengan skuad kebangsaan.

Chun Yong yang juga Pengarah Teknikal Futsal, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berhasrat untuk menyambung kursus kejurulatihannya daripada tahap tiga ke peringkat profesional pada hujung tahun ini.

Namun, dia dalam dilema apabila terdapat kemungkinan jadual kursus itu akan bertembung dengan Kejohanan Futsal AFF di Jakarta, November depan.

Chun Yong masih menanti butiran penuh daripada pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk memastikan tidak wujud sebarang pertindihan tarikh.

"Sebab itu, saya perlu menyusun kem latihan setiap masa kerana mereka hanya memberikan tarikh sementara dan maklumat. Diharapkan ia tidak akan mengganggu waktu Kejohanan AFF," ujarnya.

Dalam masa sama, Chun Yong juga telah mengusulkan kepada FAM untuk mengatur dua perlawanan persahabatan kelas A untuk Malaysia sebagai menghadapi Kejohanan AFF nanti.

Sasarannya adalah untuk memastikan Malaysia sekali lagi melangkah ke final selepas dikecewakan Thailand dalam perlawanan akhir edisi lalu.

"Buat masa ini, saya belum boleh menjelaskan negara mana yang akan dihadapi tetapi dua negara dari Timur Tengah, Asia Tenggara mempunyai satu wakil serta dua pasukan dari Asia turut dijemput.

"Kami akan mengumumkan sebaik sahaja kata putus diraih," katanya lagi.