Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, menganggap kejayaan meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA di London kelmarin sebagai pembakar semangat untuk terus memburu kejayaan dalam Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan, Julai ini.

Penerjun berusia 20 tahun itu menjadi satu-satunya wakil negara yang menyumbang pingat gangsa dalam kejohanan di London itu menerusi acara tiga meter papan anjal individu selepas mengumpulkan 344.40 mata.

Bagi Dhabitah, ia merupakan permulaan positif dalam misi menempah kejayaan di Korea Selatan yang turut menawarkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selain acara tiga meter papan anjal individu, Dhabitah turut berharap akan terpilih sebagai gandingan Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama untuk bersaing dalam Kejohanan Dunia.

"Ia boleh dikira sebagai rezeki bulan Ramadan.

"Mungkin Allah nak beri saya rezeki pada bulan yang mulia ini.

"Dan mungkin hadiah Hari Raya jugalah.

"Saya memang tidak sangka untuk layak ke final sebenarnya.

"Sasaran saya adalah untuk mendapatkan tempat ke Sukan Olimpik.

"Siri Dunia sebenarnya hanyalah untuk mendapatkan aura kejohanan sahaja.

"Ia juga sebagai persediaan untuk ke Kejohanan Dunia kerana Kejohanan Dunia lebih penting buat masa ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih terjun negara, Christian Brooker, berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan Dhabitah dan menganggap anak buahnya itu berada di landasan tepat untuk memburu tempat ke Tokyo 2020.

"Dia melakukannya dengan amat baik.

"Dia berusaha keras untuk layak ke final dan turut bekerja keras dalam final.

"Ia merupakan kejohanan yang berkualiti tinggi.

"Dia mengawal dirinya dengan amat baik dan mengekalkan kedudukan pingat gangsa.

"Kami semua gembira dengan prestasinya," katanya.