Selepas menanti sejak hari pertama, skuad terjun negara akhirnya meraih satu-satunya pingat dalam Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA, di London selepas penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, meraih pingat gangsa dalam acara tiga meter papan anjal individu.

Pingat gangsa itu menutup sedikit kekecewaan skuad terjun negara yang hampir pulang dengan tangan kosong.

Ia juga mampu mengubat kekecewaan Dhabitah yang hambar dalam dua acara lain yang disertainya -- bersama Muhamad Syafiq Putih dalam acara tiga meter papan anjal seirama campuran, mereka menduduki tangga kelima.

Dia juga kecewa hanya menamatkan acara tiga meter papan anjal seirama bersama Wendy Ng.

Penerjun berusia 19 tahun ini bermula agak goyah dalam aksi final tiga meter papan anjal individu itu dengan hanya meraih 63 mata dalam terjunan pertama.

Namun, perlahan-lahan dia berjaya memperbaiki terjunannya hingga berjaya mendahului saingan.

Akhirnya, Dhabitah berpuas hati menamatkan final itu di tempat ketiga untuk meraih pingat gangsa dengan mencatat 344.40 mata.

Ini juga merupakan pingat kedua Dhabitah dalam Siri Dunia dengan sebelum ini memenangi perak bersama Pandelela Rinong di Kanada pada 2017.

Pingat emas dimenangi Maddison Keyney dari Autralia sementara perak milik Jennifer Abel dari Kanada.