Azizulhasni Awang mengulangi aksi cemerlang Sukan Asia apabila mengungguli acara pecut Kejohanan Berbasikal Trek Asia Tenggara di Velodrom Nasional di Nilai, hari ini.

Azizulhasni membantu kontinjen negara meraih emas dalam temasya Jakarta-Palembang dengan menewaskan wakil Jepun, Tomohiro Fukaya, 2-0 dalam persaingan tiga perlumbaan terbaik.

Turun beraksi di Nilai dalam acara yang sama berdepan wakil Indonesia, Puguh Admadi, hari ini, "The Pocket Rocketman" tidak berdepan situasi sukar untuk memastikan kemenangan memihaknya selepas merakamkan keputusan 2-0.

"Saya gembira dengan kemenangan ini. Saya mengutamakan kemahiran dan teknikal dalam perlumbaan ini dan ia adalah persiapan untuk menghadapi kejohanan di Perancis," kata Azizulhasni.

Sementara itu, dalam saingan wanita, Fatehah Mustapa terpaksa akur dengan pingat perak apabila tewas kepada Crismonita Dwi Putri dari Indonesia dengan keputusan 0-2.

"Saya agak kecewa dengan kekalahan ini. Sebelum ini, saya hanya menjalani latihan di sini dan berharap kembali ke tahap terbaik untuk saingan akan datang," kata Fatehah.

"Selepas tamat Sukan Asia, kami memberikan rehat kepada atlet negara selepas menempuhi persiapan intensif sebelum beraksi di Jakarta. Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia merupakan tumpuan utama dan berharap mereka berada di tahap terbaik," kata ketua jurulatih negara, John Beasley.