Pasukan berbasikal dari Sabah, Cycology Sabah Racing Team, buat pertama kalinya bakal beraksi di pentas antarabangsa apabila menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Klasik Antarabangsa Taiwan 2019 di Kaohsiung, bermula esok hingga Isnin ini.

Penyertaan pasukan dari Negeri Di Bawah Bayu itu boleh dikatakan satu langkah berani kerana Sabah sebenarnya masih belum memiliki velodrom sendiri untuk latihan mereka.

"Ini adalah perlumbaan antarabangsa pertama kami dan sasarannya adalah untuk menimba pengalaman di pentas perlumbaan yang lebih besar," kata ketua jurulatih pasukan berkenaan, Louis Pang, ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Beliau berkata, pasukan itu telah melakukan persiapan sejak lima bulan lalu, iaitu sejak Sukan Malaysia (Sukma) 2018 melabuhkan tirai dan berharap akan mencapai keputusan yang boleh dibanggakan.

"Kami mahu menguji ketahanan fizikal dan mental kami. Sebagai jurulatih juga, saya mahu melihat para atlet mempamerkan kematangan mereka dalam membuat keputusan selain menguji kesabaran ketika berlumba di bawah tekanan," katanya sambil menambah kejohanan itu juga sebagai salah satu persiapan mereka bagi menghadapi Sukma di Johor tahun depan.

Louis berkata, seramai lima pelumba akan membarisi Cycology Sabah Racing Team, iaitu Lim Chun Kiat, 19, Bong Yong Xian, 18, Darren Chong Tshun Lok, 17, Waldron Chee, 17 serta seorang pelumba wanita, Chika Cherryca Chia, 18.

"Pasukan kuartet lelaki kami adalah pelumba yang sama ketika memenangi pingat gangsa dalam Sukma yang lalu, iaitu Chun Kiat, Darren, Waldron dan Yong Xian.

"Selain daripada Chun Kiat yang akan berlumba dalam acara lelaki elit, pelumba-pelumba lain akan beraksi dalam kategori junior lelaki dan wanita.

"Kami akan menyertai hampir kesemua acara, termasuk omnium, scratch, point, madison, pecut berpasukan, pecut, ujian masa 1km/500m dan juga keirin," katanya.

Bagaimanapun, Louis mengakui perlumbaan yang bakal dihadapi itu sangat mencabar dengan penyertaan pelumba-pelumba terbaik dari lebih 10 negara, termasuk Malaysia sendiri selain Kazakhstan, Sepanyol, Australia, Hong Kong, Singapura, Thailand, Macau, Indonesia, Romania dan juga tuan rumah, Taiwan.

Cycology Sabah Racing Team adalah pasukan ketiga dari Malaysia yang akan menyertai perlumbaan di Taiwan itu.

Dua lagi pasukan, iaitu pasukan kebangsaan yang dibarisi Muhammad Khairul Nizam Rasol, Amar Danial Masri, Taib Azmudden Mohd Shukri dan Fatehah Mustapa manakala Sime Darby Foundation Track diwakili tiga pelumba, iaitu Mohamad Shariz Efendi, Fairna Shawati Mohd Adnan dan Aris Amira Rosidi.