Daniel Cormier tidak pasti apa yang harus dirasai ketika dia diumumkan sebagai juara light heavyweight UFC susulan kegagalan ujian doping Jon Jones.

Gelaran tersebut dipulangkan kepada Cormier selepas Jones didapati positif dadah jenis Turinabol dalam kemenangannya ke atas bekas pemenang pingat emas Olimpik itu dalam UFC 214, Julai lalu.

Jones, 30, hilang kejuaraan tersebut selepas menewaskan Cormier dalam pertembungan pertama dalam UFC 182, selepas didapati positif dadah jenis kokain, sebelum disahkan tidak dapat merebut kembali tali pinggang itu ekoran didapati positif dadah jenis steroid menjelang pertembungan dalam UFC 200.

"Saya sudah berjuang. Dalam kepala saya, saya sudah tewas dalam pertarungan itu. Tetapi ia pertarungan yang tidak adil -- saya tidak sepatutnya berada di dalam gelanggang," Cormier memberitahu ESPN.

"Bukan mudah untuk menjawab soalan ini. Saya ada berasa seperti juara kerana saya tahu saya seorang juara sebelum semua perkara ini berlaku. Saya tidak tahu. Soalan itu sukar untuk saya jawab."

Menghabiskan masa sebagai atlet gusti Olimpik telah membantu Cormier memahami aspek ujian doping berskala yang dilakukan Agensi Anti-Doping Amerika Syarikat (USADA).

Dia juga sedar bagaimana pra-latihan mampu membabitkan bahan terlarang dengan USADA telah menangkap ramai atlet yang didapati positif bahan terlarang.

Selepas melepasi setiap ujian doping, Cormier berasakan tiada alasan buat Jones yang didapati menggunakan bahan terlarang.

"Mengapa perkara ini tidak berlaku kepada saya?" katanya.

"Jika semua suplemen mudah diusik, mengapa saya tidak pernah diuji positif dengan bahan terlarang dalam tempoh 12 tahun? Saya sudah berada dalam program ini selama 12 tahun disebabkan sukan gusti. Mengapa suplemen saya tidak diganggu?"