Hasrat Novak Djokovic untuk menempah tiket ke suku akhir Terbuka Australia lebur apabila dikejutkan dengan kekalahan straight set di tangan pemain ke-58 dunia dari Korea Selatan, Chung Hyeon, dalam pusingan 16 di Rod Laver Arena, sebentar tadi.

Djokovic, yang pernah memenangi kejohanan itu sebanyak enam kali, turun selaku pilihan, namun dikejutkan dengan aksi cemerlang Chung dalam dua set pertama.

Perbezaan tempat dalam kedudukan dunia nyata tidak menjadi masalah buat pemain Korea itu untuk meletakkan fokus sepenuhnya sehingga membuatkan Djokovic kerap melakukan kesilapan.

Chung, yang baru memasuki usia 21 tahun, mengejutkan bintang dari Serbia itu apabila mencatat kemenangan 7-6 (7-4), 7-5 dalam dua aksi awal, sebelum mengesahkan kemenangan dengan mata 7-6 (7-3) dalam set ketiga.

Kekalahan itu menyaksikan Djokovic terus kempunan untuk menambah koleksi kejuaraan dalam Terbuka Australia selepas kali terakhir melakukannya dua tahun lalu.

Chung akan meneruskan kempen menentang wakil Amerika Syarikat, Tennys Sandgren, dalam suku akhir Rabu ini.