Ketua jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, menggalakkan barisan pemainnya untuk mencuba pengalaman baru beraksi di pentas liga luar negara seperti Khairul Affendy Mohd Bahrin yang bakal ke Indonesia, tahun depan.

Chun Yong menganggap tawaran daripada kelab Indonesia, SKN Kebumen, untuk tonggak skuad negara yang mesra disapa Ayon itu adalah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan.

Bukan sahaja menjadi pemain tempatan pertama beraksi di luar negara, malah ia satu pengalaman berharga untuk diraih selain dapat mempelajari skil permainan dengan lebih baik dan lebih kompetitif.

Chun Yong juga tidak menolak terdapat beberapa lagi pemain yang turut diintai oleh kelab luar di samping khidmatnya juga mendapat perhatian.

“Ia bukan satu kejutan buat saya. Beberapa tawaran yang baik dari luar negara memang ada untuknya tetapi dia perlu memilih dengan bijak untuk mengekalkan cara permainan serta prestasi,” ujar Chun Yong.

Kem latihan pusat skuad negara dijangka bermula pada Januari depan dalam mempersiapkan diri ke Kejohanan Futsal AFC 2018 di Taiwan pada Februari.

“Kami sedang dalam proses persiapan dan menunggu masa untuk menyambung sesi latihan dan menjangkakan satu kem latihan sebelum berlepas ke Taiwan,” ujarnya.