Jurulatih futsal negara, Chew Chun Yong, mahu memartabatkan lagi sukan futsal di negara ini selepas terpilih untuk menyertai Kursus Kejurulatihan Profesional Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) di Kazakhstan, bulan ini.

Chung Yong dipilih menyertai kursus yang buat julung-julung kalinya diadakan itu bersama-sama 13 jurulatih lain, antaranya dari Jepun, Iran, Australia, Uzbekistan dan Lubnan.

Menariknya, bekas pemain futsal kebangsaan itu menjadi peserta tunggal dari Asia Tenggara, sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas dunia.

"Seramai 14 jurulatih Asia terpilih untuk mengikuti kursus berkenaan dan saya percaya kami akan belajar sesuatu dan berpeluang untuk melihat perbezaan di antara permainan di Eropah dan Asia," katanya.

Ia juga penghormatan besar dalam kariernya sepanjang menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Sebelum ini, dia pernah disenaraikan sebagai antara calon bagi Anugerah Jurulatih Terbaik Futsal Dunia pada 2017.

Chun Yong akan berlepas ke Almaty, Kazakhstan, esok bagi mengikuti kursus yang berlangsung selama 14 hari itu.

"Ia bukan sahaja untuk membimbing pasukan kebangsaan, malah ia juga dapat membantu saya ketika mengendalikan Kursus Kejurulatihan Futsal AFC tahap satu hingga tiga.

"Saya akan pastikan maklumat berharga hasil daripada kursus (di Kazakhstan) itu akan diturunkan kepada jurulatih tempatan dan saya percaya ia akan membantu jurulatih di negara ini," tambahnya.