Ketua jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, mengakui perkembangan skuad futsal negara akan terjejas susulan kemelut yang melanda Perlis membabitkan tunggakan gaji pemain dan jurulatih ketika ini.

Skuad futsal Perlis gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan jurulatih selama dua bulan, sekali gus melalui situasi sama seperti yang dialami pasukan bola sepak.

Ia menyebabkan beberapa pemain berstatus kebangsaan sudah mula meninggalkan pasukan menjelang sepak mula Liga Futsal Profesional Malaysia (MFPL) April depan.

Apa yang berlaku itu jelas membimbangkan Chun Yong, terutama ketika memikirkan nasib pemain lain sekiranya pasukan itu berkubur kelak.

"Bagi saya, agak malang kerana ia akan memberi kesan kepada pemain, lebih-lebih lagi kebanyakan pemain pasukan itu terdiri daripada skuad lelaki dan wanita kebangsaan. Belum terlambat untuk pasukan lain tatkala pemain mahu mencari peluang lain tetapi bagi saya selaku pengendali skuad negara, saya mahu pemain sentiasa bersama pasukan, beraksi dan mengekalkan prestasi," katanya.

Antara pemain yang masih beraksi bersama pasukan itu ialah penjaga gol negara, Azrul Hadee Taufiq, serta pemain yang pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan, Saiful Aula Ahmad dan Qaiser Hisham.

Kedudukan mereka bagi pemilihan untuk skuad kebangsaan sememangnya akan terjejas jika gagal beraksi tahun ini.

"Itu tidak meragukan. Saya perlu memastikan pemain sentiasa beraksi. Mereka memerlukan sesi latihan yang sempurna bersama kelab atau pasukan negeri," tambah Chun Yong.

"Jadi, untuk pemain yang tidak bermain, sudah tentu ia akan menggugat tempat dalam kem kebangsaan."