Skuad futsal negara menyambung latihan fasa akhir di Kota Bharu bermula Isnin lalu, di mana pengendali negara, Chiew Chun Yong, akan menggunakan kem latihan seminggu itu untuk menentukan senarai akhir pemain ke pusingan akhir Kejohanan AFC di Taiwan.

Bagi Chun Yong, bukan hanya aspek kecergasan dan kepantasan pemain yang menjadi keutamaannya dalam memilih pemain dalam senarai akhir, sebaliknya bekas pemain negara itu turut menitikberatkan pemain yang mampu bermain mengikut percaturan taktikal yang diterapkannya.

"Dalam kejohanan ini, tidak banyak perubahan yang saya lakukan dalam strategi dan taktikal. Saya lebih melihat kepada permainan yang pantas.

"Segala-galanya berlandaskan kepantasan, jadi saya berharap pemain-pemain boleh menyesuaikan diri," katanya.

Dalam masa sama, jurulatih itu turut memberi pengesahan akan ada tambahan aksi persahabatan antarabangsa buat skuad negara selain aksi persahabatan dengan Lubnan yang sudah ditetapkan sebelum ini.

Chun Yong dijangka menggunakan beberapa aksi persahabatan antarabangsa sebelum ke Taiwan untuk menguji gandingan serta percaturan taktikal terbaik untuk diterapkan dalam saingan AFC.

"Terdapat empat lagi aksi antarabangsa, iaitu berdepan Iraq, kemungkinan akan beraksi di Kuala Lumpur dan terdapat beberapa perlawanan lain yang akan disahkan."