Pasukan China Guangdong mendominasi Kejohanan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Kali Ke-5 yang dianjurkan Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) di Tanjung Lipat, Kota Kinabalu, hari ini.

Pasukan yang turut dikenali sebagai Ying Ao Shunde Xingtan itu memenangi kesemua empat kategori disertai mereka, termasuk kategori utama bagi merebut Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah.

China Guandong yang pernah meraih gelaran utama pada dua tahun lalu itu juga memenangi kategori Piala Naga FCAS selain kategori terbuka lelaki serta terbuka campuran.

Sementara itu, pasukan dari Sarawak, Sayang Lawas, muncul naib johan kategori Piala TYT Sabah manakala pasukan Perahu Naga Brunei A muncul pemenang tempat ketiga.

Bagi kategori Piala Naga FCAS, dua pasukan dari Brunei, iaitu Lela Cheteria dan pasukan Perahu Naga Brunei A, masing-masing berada di belakang China Guangdong untuk memenangi tempat kedua dan ketiga.

Kategori terbuka lelaki pula menyaksikan dua pasukan dari Sarawak, iaitu Landas Sarawak A dan Sayang Lawas A, berada di kedudukan kedua dan ketiga manakala dalam kategori terbuka campuran pula, Lela Cheteria B di tempat kedua dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di tempat ketiga.

Kejohanan itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, dengan hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan Yang Di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.