Bekas ketua jurulatih skuad bola keranjang lelaki negara, Goh Cheng Huat, kembali memainkan peranan membantu program kebangsaan selepas kali terakhir membimbing skuad negara dua tahun lalu.

Cheng Huat melepaskan jawatan selepas kegagalan skuad lelaki negara memenangi pingat di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan membuatkan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menyerahkan program elit lelaki kepada kelab NS Matrix.

Dalam masa sama, badan induk itu meluaskan kelompok pemain kebangsaan dengan pelbagai usaha seperti pembentukan pasukan Pilihan MABA dan terbaru, mereka akan dihantar menyertai Kejohanan Jemputan di Harbin, China, hujung bulan ini serta dilatih Cheng Huat secara sukarela.

"Saya rasa ia satu perkara yang baik untuk kelompok pemain muda. Jadi, ia juga menjadi cabaran buat saya. Memandangkan ramai pemain bagus dalam skuad NS Matrix, jadi menjadi tanggungjawab saya untuk mendapatkan sentuhan terbaik daripada pemain muda," katanya.

Bagaimanapun, Cheng Huat menegaskan masa depan skuad lelaki kebangsaan cerah di bawah pengawasan pengurusan NS Matrix.

Malah, dia percaya bakal ada kejutan daripada Malaysia dalam Sukan SEA Manila 2019.

"Saya rasa mereka memiliki peluang yang bagus untuk tampil cemerlang dalam Sukan SEA hujung tahun ini."