Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim.

Karim membuat rayuan terhadap keputusan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) yang mengeluarkan beliau daripada badan induk dunia itu tahun lalu.

Pegawai Komunikasi CAS, Katy Hogg, ketika dihubungi Bernama berkata keputusan akhir itu dibuat pada 17 Disember lalu.

“CAS telah mengeluarkan keputusan akhir pada 17 Disember 2018 yang mana rayuan Karim Ibrahim terhadap keputusan panel penilai IAAF bertarikh 15 Mei 2018, ditolak,” katanya.

IAAF pada Ogos tahun lalu, menjelang Sukan Asia Jakarta-Palembang, mengesahkan bahawa panel penilainya mendapati Karim tidak layak memegang jawatan dalam badan induk itu.

Namun, tiada butiran lanjut dinyatakan memandangkan Karim telah membawa perkara itu kepada CAS.

Bagaimanapun, laporan media mengaitkan penyingkiran beliau dengan satu dokumentari yang disiarkan media Jerman, ARD, pada Mac 2016, yang mendakwa Karim melindungi amalan doping di Malaysia.

Pada 2012, Karim dikenakan tindakan penggantungan kerana didakwa membantu enam atlet negara yang enggan menjalani ujian doping oleh Institut Sukan Negara (ISN) pada tahun sebelumnya.

Karim, bagaimanapun, membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi Malaysia dan berjaya membatalkan hukuman penggantungan itu sebelum beliau dipilih sebagai presiden KOM pada penghujung 2014.

Beliau dipilih sebagai Ahli Majlis IAAF oleh Persatuan Olahraga Asia (AAA) pada Oktober 2015.

-- BERNAMA