Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, mahu tumpuan diberikan kepada sekolah-sekolah bagi melahirkan bakat-bakat muda yang berpotensi dalam pelbagai jenis sukan di negeri tersebut.

Menurutnya, dengan mengenal pasti bakat-bakat ini di peringkat rendah, atlet-atlet muda ini boleh diasuh dan dilatih untuk kemudiannya muncul sebagai pemain bertaraf dunia.

"Dalam sukan boling, misalnya, usaha kita semakin berjaya apabila atlet-atlet muda yang kita cungkil menunjukkan persembahan hebat dalam Sukan Malaysia yang lalu," katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa Sarawak di Arena Megalanes di Batu Kawa, semalam.

Abdul Karim berkata penganjuran semula kejohanan ini selepas 18 tahun menyepi seharusnya diberikan sokongan dan penghargaan.

"Ini program pencarian dan pendedahan bakat yang cukup baik, apatah lagi ia turut melibatkan nama-nama besar.

"Sehubungan itu, selagi saya di kementerian ini, saya akan terus memberikan sokongan untuk penganjuran kejohanan antarabangsa ini," katanya.

Kejohanan boling itu menarik penyertaan 213 peserta dari 10 negara, termasuk Jepun, India, Singapura, China, Indonesia, Australia, Hong Kong, Thailand dan Brunei.

Malah antara nama besar yang turut bersaing ialah pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Shalin Zulkifli dan Rafiq Ismail.