Pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy, berdepan tugas mencabar sebelum Sukan Asia Indonesia, apabila badan dunia, World Sailing, mengurangkan kuota kelayakan Olimpik Tokyo 2020 menerusi Kejohanan Dunia di Denmark, minggu depan.

Skuad pelayaran negara memiliki peluang terbaik untuk menggegar sebelum Sukan Asia Indonesia.

Enam pelayar akan mencabar Kejohanan Dunia di Aarhus, Denmark bermula 30 Julai ini yang juga kelayakan pertama Olimpik Tokyo.

Cabaran meningkat dalam acara laser standard apabila World Sailing mengurangkan kuota kelayakan kepada 14 negara berbanding 24 sebelum ini.

"Di Denmark, kami tidak mahu berada di kemuncak prestasi terlalu awal -- kami sasar untuk tampil aksi terbaik untuk berada dalam kelompok 50 terbaik untuk layak ke Olimpik Tokyo," kata Khairulnizam.

Lima pelayar sudahpun berlepas ke Denmark dengan Khairulnizam akan menyusul Isnin ini.

Ia bagi menyesuaikan diri dengan venue kejohanan dan tiupan angin.

Peluang Malaysia layak awal ke Sukan Olimpik Tokyo menerusi Nur Syazrin Mohd Latif apabila kuota acara laser radial ditambah hingga 44 negara.

Enam pelayar dipilih mengibarkan cabaran negara dalam Kejohanan Dunia di Denmark dengan Syazrin selaku pemenang pingat perak laser radial Sukan SEA Kuala Lumpur sebagai harapan terbaik layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.