Jurulatih terjun negara, Christian Brooker, bimbang kecederaan bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong, akan menjadi lebih serius jika dia tetap berkeras mahu menyertai sesi pemilihan Mac depan untuk ke Piala Dunia di Tokyo, Jepun yang juga kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) akan mengadakan sesi pemilihan acara 10 meter platform individu wanita, Mac depan untuk memilih dua penerjun terbaik ke Piala Dunia di Tokyo pada April.

Ia bakal disertai Pandelela Rinong, yang sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo selain Nur Dhabitah Sabri dan Jun Hoong.

Masing-masing berlatih dengan pengendali berbeza, dengan Brooker menyuarakan kebimbangan mengenai Jun Hoong yang kesuntukan masa untuk pulih 100 peratus daripada pembedahan lutut.

"Saya bimbang dengan keselamatan Jun Hoong. Dia telah berehat selama 18 bulan dan selepas dua bulan kembali menjalani latihan, dia telah mula melakukan terjunan 10m.

"Ia agak membahayakan, seperti resipi kepada malapetaka. Saya bimbang dan keadaan tergesa-gesa untuk kembali kembali ke tahap terbaik suatu risiko yang sangat tinggi," kata Brooker.

Jun Hoong satu-satunya penerjun yang berlatih dengan bekas pengendali negara, Yang Zhuliang, di China.

Tindakan itu dipercayai kerana Jun Hoong yakin dengan corak latihan Zhuliang yang membantunya muncul juara dunia 2017.




Editor: Ammar Hakim