Pemain boling padang berpengalaman negara, Nor Hashimah Ismail, gagal berada dalam senarai akhir lima pemain wanita ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 manakala Mohd Syamil Syazwan Ramli dan Auni Fathiah Kamis terpilih buat pertama kali.

Ketua jurulatih kebangsaan, Simon Botha, menjelaskan dia tiada pilihan lain selain menggugurkan Nor Hashimah walaupun dia mempunyai pengalaman luas beraksi di empat pentas Sukan Komanwel sebelum ini.

Keputusan itu juga diambil selepas menilai atlet lain seperti Azlina Arshad, Nur Fidrah Noh dan Auni yang dilihat lebih menyerlah di medan penilaian terakhir dalam lima perlawanan ujian di Australia, awal bulan ini.

"Saya tidak menafikan pemain sekarang kerana dia masih lagi dalam perancangan kami. Kami masih memerlukan khidmatnya tetapi saya hanya boleh memilih lima pemain dan saya fikir saya memilih lima pemain terbaik,” ujar Botha.

Sementara itu, Syamil dan Auni mendedahkan mereka tidak menyangka mendapat tempat kali ini selepas tercicir dalam senarai ke Glasgow, empat tahun lalu.

"Dalam latihan, saya lebih kepada triple dan fours. Posisi saya di depan. Tidak banyak, kerja saya hanya fokus kepada draw sahaja," kata Syamil.

"Terima kasih kepada jurulatih kerana terpilih dalam kelompok empat teratas. Saya akan buat yang terbaik. Pemilihan ke Gold Coast baru-baru ini saya buat yang terbaik dan inilah rezeki saya pada tahun ini. Saya cukup gembira," tambah Auni.