Borneo Eagles Club (ERC) menjulang gelaran keenam dalam Kejohanan Ragbi Borneo 7s selepas mengatasi Hong Kong Dragons 19-14 dalam final di Sandakan, semalam.

ERC, yang mahu memadamkan kekecewaan apabila tewas dalam final kepada Iconz Australia tahun lalu, sekaligus gagal menjuarai kejohanan itu empat kali berturut-turut, menunjukkan jalan keluar kepada wakil Australia itu dalam perlawanan separuh akhir apabila menewaskan mereka 21-10.

Hong Kong Dragons pula mara ke final apabila mengatasi Sabah Eagles 24-0.

Jangkaan yang tinggi diletakkan kepada Borneo Eagles selaku tuan rumah dan mereka tidak mengecewakan kelab dan penonton yang hadir untuk memastikan satu lagi kejuaraan Borneo 7s.

Eagles telah diberikan cabaran hebat oleh Hong Kong Dragons yang mendahului separuh masa pertama 14-12.

Eagles, yang dipimpin oleh bekas pemain All Blacks, Josh Van Lieshout, memastikan kemenangan apabila menamatkan perlawanan 19-14.

Aksi cemerlang yang ditampilkan Glen Dale Cook Cakutini menjadi tunjang ERC selepas menyempurnakan dua try dan satu conversion dalam usaha melakar kemenangan.

Van Lieshout memberikan pujian di atas persembahan yang dipamerkan anak buahnya di atas kejuaraan yang diraih itu.

"Hari kedua kejohanan ini adalah sangat penting, setiap perlawanan adalah penting," kata Van Lieshout.

"Sejujurnya, aksi final ini sangat sengit, ia merupakan pertembungan dua pasukan berkualiti. Anda dapat lihat menerusi keputusan perlawanan, pujian harus diberikan kepada setiap pemain yang beraksi di atas padang.

"Pemain-pemain mengikut pelan yang telah ditetapkan (dalam pusingan awal) dan memberikan tumpuan kepada permainan bertahan. Lawan kami memiliki jentera serangan yang kuat dan kami cuba mematahkan strategi mereka.

"Sejujurnya, saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Jika diberikan peluang, saya mahu bekerjasama sekali lagi dengan Eagles pada masa akan datang."

Saingan wanita menyaksikan wakil Jepun, Blue Angels, membuktikan kebolehan mereka selaku pasukan pilihan apabila mengatasi wakil Australia, Southern District, 39-0 dalam final.