Atlet para negara, Bonnie Bunyau, menyasarkan angkatan seberat 210kg dalam Kejohanan Para Dunia di Kazakhstan, Julai depan selepas menggegar Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Misi 210kg itu adalah untuk memperbaiki rankingnya yang kini di kedudukan ketiga terbaik dunia bagi mencerahkan laluannya meraih tiket ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Bonnie mencatat sejarah di Dubai apabila merangkul pingat emas kategori remaja 65kg lelaki selain meraih tempat kedua kategori senior dalam Kejohanan Powerlifting Para Piala Dunia, hujung minggu lalu.

Bonnie turut mengharumkan nama negara dalam Sukan Para Asia 2018 apabila meraih perak dalam kategori lelaki hingga 65kg dengan angkatan seberat 205kg.

"Tumpuan saya tahun ini adalah Kejohanan Dunia dan memburu kelayakan Sukan Paralimpik 2020. Saya ingin mempertahankan ranking ketiga dunia," ujar atlet kelahiran Sarawak itu.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Jamil Adam, menganggap Kejohanan Powerlifting Para Piala Dunia sebagai satu pendedahan kepada Bonnie sebelum menghadapi Kejohanan Dunia dalam tempoh lima bulan lagi.

"Bonnie meraih pencapaian yang memberangsangkan di Dubai.

"Ia membuktikan bahawa kami mempunyai kekuatan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Kazakhstan," kata Jamil.