Usain Bolt menolak tawaran dua tahun daripada juara liga Malta, Valletta, demikian diumumkan ejen juara lapan kali Olimpik itu.

Bekas jaguh pecut Jamaica itu sedang berusaha mendapatkan kontrak daripada kelab Liga Australia, Central Coast Mariners, selepas menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan ujian Jumaat lalu.

Dengan musim baru Liga-A akan bermula hujung minggu ini, masa depan Bolt bersama kelab itu, bagaimanapun, kekal samar-samar.

Bagaimanapun, ejennya, Ricky Simms, berkata pelanggannya itu memutuskan untuk menolak berpindah ke Malta di sebalik Valetta sudah mengumumkan untuk mendapatkan atlet berusia 32 tahun itu.

Simms memberitahu Omnisport: "Terdapat banyak minat terhadap Usain untuk bermain bola sepak. Kami didatangi tawaran kelab-kelab dari seluruh dunia.

“Satu-satunya perbezaan dengan tawaran terbaru ini ialah ia hanya dibuat melalui media.

“Saya boleh mengesahkan Usain tidak berminat untuk mengejar peluang di Malta.”

Bolt, yang bersara daripada acara trek dan padang pada 2017, telah menjalani latihan bersama Mariners sejak Ogos lalu.

Dia sebelumnya mengharungi latihan yang sama dengan gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund, di samping kelab seperti Mamelodi Sundowns (Afrika Selatan) dan Stromsgodset (Norway).