Jurulatih skuad boling padang para negara, Siti Jamilah Abu Hassan, mempertaruhkan muka baru dalam Kejohanan Boling Padang Para Asia yang juga merupakan kelayakan ke Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Kejohanan dwitahunan itu, yang bakal berlangsung di Kompleks Boling Padang Bukit Kiara bermula Selasa hingga Ahad ini, merupakan saingan kelayakan ke Sukan Komanwel yang sering dikuasai Malaysia.

Dalam edisi kali ini, Siti menaruh harapan kepada atlet baru walaupun hanya meletakkan sasaran pingat kerana tidak ingin memberi tekanan kepada pemainnya.

"India dan Thailand merupakan antara pencabar baru dalam kejohanan ini sementara Malaysia menurunkan rata-rata muka baru dan saya tidak meletakkan sasaran yang tinggi untuk meraih pingat bagi edisi kali ini," katanya.

Tambahnya lagi, tempoh latihan singkat menjadi antara faktor hanya meletakkan sasaran pingat kerana ia lebih realistik apabila hanya mula menjalani latihan sejak Ahad lalu.

"Kami hanya membuat persiapan yang singkat bagi saingan kali ini, jadi saya tidak dapat memberikan sasaran pingat bagi pasukan saya."

Kejohanan kali ini menyaksikan tujuh negara terlibat dan dua penyertaan negara baru, iaitu India dan Thailand.