Skuad boling padang wanita negara meneruskan rentak kemenangan apabila mengalahkan Hong Kong 19-11 dalam perlawanan ketiga Kumpulan H, Kejohanan Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Pada permulaan permainan, skuad negara bergelut memberikan saingan dengan pelawat apabila gagal mengutip sebarang mata.

Bagaimanapun, selepas memasuki end keenam, skuad negara yang diketuai pemain senior, Azlina Arshad, mula mendapat rentak dan berjaya mendominasi permainan sehingga ke end terakhir.

Kemenangan ke atas Hong Kong itu sekali gus menyuntik keyakinan kepada gandingan pemain senior dan baru dalam mencapai sasaran yang diletakkan Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) dalam kejohanan ini.

"Kami bersaing sengit pada permulaan permainan dan berjaya mengejar dan memenangi perlawanan ini. Saya dan rakan sepasukan menyasarkan pingat emas dalam kejohanan ini," kata Azlina.

Sementara itu, kategori lelaki menyaksikan Malaysia B terus menepati ramalan apabila mengalahkan Kuala Lumpur 21-6.