Kuala Lumpur mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan selepas menundukkan Johor dalam aksi final di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nurul Ain Ramlan, berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan pemainnya selepas merakamkan kemenangan 58-41 untuk meraih kejuaraan ketiga berturut-turut.

Ia juga merupakan kali kedua berturut-turut Kuala Lumpur mengecewakan Johor di pentas final.

"Pemain kami bermain dengan sangat bagus dan mereka banyak memberikan saingan kepada Johor.

"Mereka melaksanakan setiap arahan yang diberikan," katanya.

Sementara itu, Pahang muncul pemenang tempat ketiga selepas menewaskan Negeri Sembilan 55-42.

"Saya berasa amat bersyukur kerena pemain saya mendengar dan mengikuti segala yang telah diajar.

"Mereka mempamerkan banyak peningkatan berbanding tahun-tahun yang sudah.

"Kami mempunyai pemain lain, namun mereka ada yang sudah bekerja dan terikat dengan komitmen masing-masing.," kata ketua jurulatih Pahang, Hapizah Jaafar.