"Pemain hilang fokus!" Demikian rumusan jurulatih skuad bola baling B-18 negara, Syihabuddin Ismail, selepas pasukannya kecundang kepada Filipina dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, sekali gus gagal menempah tempat ke final Kejohanan Trofi IHF zon Asia, hari ini.

Skuad negara turun ke aksi di Stadium Panasonic, Shah Alam dengan keyakinan tinggi dapat nenewaskan Filipina untuk mara ke final.

Meskipun tumpas kepada Thailand dalam perlawanan kedua semalam, mereka dijangka mampu menghadapi tentangan Filipina.

Begitupun, lawan lebih menyerlah dengan serangan balas pantas yang memerangkap pertahanan skuad negara dalam babak pertama selain sedikit tuah apabila beberapa keputusan pengadil memihak kepada mereka.

Malaysia mempamerkan kebangkitan dalam babak kedua, dengan Muhammad Syafiq Zaidi dan Mohamad Iman Hakim Hambali masing-masing memperoleh enam mata.

Ternyata nasib tidak menyebelahi Malaysia apabila terpaksa akur dengan kekalahan tipis 29-28.

"Kami terlalu gugup dalam separuh masa pertama sehingga ketinggalan dengan jurang gol yang besar. Selepas kami memperbaiki aksi, kami mengejar semula kedudukan, namun disebabkan faktor teknikal di penghujung perlawanan, kami terpaksa akur.

"Dalam bola baling, sedikit kesilapan mampu menghadiahkan dua gol kepada pihak lawan," ujar Syihabuddin.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga dengan dua pasukan teratas akan mencabar gelaran juara keseluruhan pada Sabtu ini.

Manakala skuad negara akan berentap menentang Indonesia esok bagi penentuan tempat ketiga.

Pertemuan peringkat kumpulan sebelum ini memihak kepada Malaysia dan Syihabuddin yakin skuad kendaliannya sekali lagi dapat meraih kemenangan.

"Pemain-pemain menunjukkan semangat yang cukup baik dan kami yakin dalam aksi menentang Indonesia pada esok, kami akan meraih kemenangan.

"Kami juga akan mencuba percaturan baru untuk bertemu mereka," tambahnya.