Jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah, membalas kekecewaan rakan sepasukan apabila mempertahankan gelaran Mr. Universe dengan menjuarai kategori 'body physique' dan sukan susuk tubuh dalam Kejohanan Bina Badan Dunia 2019 di Korea Selatan, hari ini.

Syarul menepati ramalan apabila turun selaku juara bertahan kategori 'body physique' di bawah kategori 170 sentimeter.

Jaguh berusia 46 tahun itu menggunakan pengalamannya dengan mempamerkan otot-otot mantap untuk memikat juri.

Dia yang dikenali sebagai Mike mengatasi pencabar dari Vietnam yang meraih perak sementara atlet Thailand dengan gangsa.

Ia kejayaan berganda buatnya selepas muncul Mr. Asia, September lalu.

"Di sebalik cuaca sejuk di sini dan kegagalan mendapatkan pingat perak semalam, kami akhirnya mendapat satu emas buat negara.

"Saya gembira dengan sahabat-sahabat, atlet dan jurulatih yang turut sama berjuang selain pegawai negara yang bekerjasama dengan baik, (trofi) ini adalah untuk Malaysia," katanya sebentar tadi.