Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang, menjelaskan dia perlu hadir dengan strategi berbeza andai berhajat mempertahankan gelaran raja keirin dunia dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda dari 28 Februari hingga 4 Mac ini.

Dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai, yang berakhir Isnin lalu, Azizulhasni sedar dia menjadi sasaran lawan dan itu yang terjadi di pentas akhir yang menyaksikan dia tewas kepada pelumba Jepun dan Korea Selatan.

Dia sedar sebagai juara bertahan, dia memerlukan strategi berlainan dan perlu lebih bersedia menghadapi asakan hebat daripada pesaing-pesaingnya.

"Seperti biasa, saya harap tiada halangan.

"Biasanya apabila turun sebagai juara dunia, permainan sedikit berlainan.

"Ada pelumba akan ubah strategi dengan mengekori saya terlebih dahulu, membuatkan saya kehausan tenaga tetapi saya perlu bijak mengatur strategi berdasarkan hari pertandingan.

"Sudah tentu saya akan hadir di garisan perlumbaan dengan keyakinan tinggi.

"Saya percaya kepada kemampuan sendiri dan saya akan memberikan yang terbaik buat negara," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Dalam masa sama, Azizul mahu memburu keputusan positif dalam acara pecut selepas berjaya melakukan catatan bawah 10 saat dalam ACC.

Selepas sekian lama tidak melakukan catatan sedemikian, dia berharap mampu meneruskan rentak kayuhan yang sama di Apeldoorn nanti.

"Saya gembira dapat membuat catatan baru dalam acara pecut 200 meter.

"Ia ukuran tahap prestasi semasa saya.

"Sebelum Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong tahun lepas, saya melakukannya dengan catatan 10.0 saat dan sasaran saya kali ini ialah 9.9s.

"Tetapi, catatan 9.77s yang jauh lebih baik membuatkan saya gembira, sekurang-kurangnya saya tahu mampu beraksi kompetitif dalam acara pecut," katanya lagi.

Malaysia akan menghantar hanya dua pelumba yang layak secara merit dalam Kejohanan Dunia, iaitu Azizulhasni manakala Mohammad Shah Firdaus Sahrom beraksi dalam acara pecut serta diletakkan sebagai pelumba simpanan keirin.