Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, tiba ke tanah air dalam keadaan terhincut-hincut ekoran kemalangan ketika Piala Trek di China hingga mengundang kebimbangan ketika Sukan Asia Indonesia berbaki tiga minggu sahaja lagi.

Shah Firdaus terbabit kemalangan ketika final keirin Piala Trek di China -- pemeriksaan doktor mendapati dia mengalami luka di bahagian paha dan betis, namun mampu meneruskan cabaran dalam Sukan Asia.

Ia cukup melegakan kerana temasya yang bakal berlangsung di Indonesia sudah begitu hampir.

"Saya hanya mengalami luka dan bengkak selepas jatuh di China. Saya yakin dapat pulih awal dan beraksi dalam Sukan Asia nanti," kata Shah Firdaus.

Malaysia meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa di China, dengan Shah Firdaus menyumbang satu perak dan satu gangsa.

Kedua-dua emas ialah menerusi Azizulhasni Awang dalam keirin dan pecut.

"Perlumbaan saya sangat baik dan dapat mencari semula rentak ketika beraksi. Kami akan kembali berlatih sebelum berlepas ke Indonesia," kata Azizulhasni.

Skuad negara akan berlatih di tanah air sebelum ke Indonesia.