Pelumba berbasikal trek para negara, Afiq Afify Rizan, membawa misi serampang dua mata dalam Kejohanan Berbasikal Para Dunia di Milton, Kanada hujung bulan ini dengan menyasarkan kedudukan podium dan membantu Malaysia meraih slot ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pelumba kebangsaan itu masih mencari tonik terbaik bagi mengulangi pencapaian membawa pulang pingat gangsa dalam edisi di Los Angeles, Amerika Syarikat tiga tahun lalu.

Dalam saingan itu, Afiq Afify bergandingan dengan jurupandu, Khairul Adha Rasol, muncul pasukan ketiga terbaik dalam acara tandem B.

Biarpun jurulatihnya, Sallehudin Mohd Noh, meletakkan keutamaan untuk memburu slot ke Sukan Paralimpik, pelumba itu tetap mengimpikan kedudukan podium dalam perlumbaan berkenaan.

"Kalau tengok daripada latihan, saya hanya mengekalkannya (prestasi) sahaja.

"Untuk meningkatkannya, Insya-Allah saya akan mencubanya sewaktu berlumba.

"Saya akan cuba buat yang terbaik.

"Jika diikutkan catatan masa sewaktu latihan, saya berada dalam kelompok 10 teratas," katanya.

Mengiringi Afiq Afifiy ke Kanada adalah seorang lagi pelumba negara, Najib Turano, yang akan membuat penampilan kedua dalam kejohanan itu.

Selain menumpukan kepada acara individu C4, dia akan turut bergandingan dengan Muhammad Yusof Hafizi dan Zuharie Ahmad Tarmizi untuk mencabar acara pecut berpasukan.

"Sasaran saya hanyalah untuk memperbaiki catatan peribadi terbaik, termasuk dalam acara pecut berpasukan.

"Kami ada peluang untuk layak ke Sukan Paralimpik.

"Jadi, kami akan membuat yang terbaik dalam acara pecut berpasukan," katanya.



Editor: Muzaffar Musa