Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Khas, Sukan Malaysia (Sukma), Datuk Low Beng Choo, mahu bertolak-ansur dengan keseluruhan pihak untuk memudahkan proses pendaftaran atlet Sukma atas dasar objektif utama sukan itu untuk mencungkil bakat.

Penganjuran Sukma bukan untuk membuktikan kuasa badan persatuan mahupun kelebihan Majlis Sukan Negeri tapi ia lebih kepada usaha untuk mencungkil bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan ke peringkat tertinggi.

Contohnya, isu membabitkan Taekwondo Malaysia (TM) dan pihak persatuan negeri, ia seolah-olah tidak melambangkan keperluan utama Sukma tetapi lebih kepada ego pihak terlibat dalam merencanakan keperluan penganjuran kali ini.

"Memang dalam Sukma, kami berharap dapat mencungkil bakat baru. Kami berharap atlet dapat beraksi bagi membuktikan kebolehan mereka untuk dibawa ke pentas lebih tinggi," kata Beng Choo.

Tegas Beng Choo, jika kepentingan sukan sebagai keutamaan, isu seperti apa yang berlaku ketika ini tidak akan berlarutan sehingga terpaksa melanggar tarikh akhir pendaftaran atlet ke Sukma.

Sebagai contoh, sukan muay ketika Kuala Lumpur 2017 di mana tiada halangan dari mana-mana negara lain untuk mencapai kata sepakat atas dasar menghormati penganjur selain usaha memperkembangkan sukan itu sendiri.

"Kami juga telah merayu kepada persatuan sukan negeri dan TM untuk meleraikan kemelut yang dihadapi dan menerima sebarang keputusan secara terbuka," tambahnya.