Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Khas, Sukan Malaysia (Sukma), Datuk Low Beng Choo, menafikan dakwaan sukan berbasikal trek akan digugurkan daripada temasya itu ekoran masalah venue yang kurang memuaskan.

Beng Choo menegaskan beberapa bahagian venue perlu diperbaiki tetapi itu tidak menjejaskan aksi sukan itu dalam penganjuran Sukma Perak.

Tugas penyelenggaraan berada dalam fasa akhir, namun ekoran masalah yang dihadapi, pihak penganjur perlu segera memperbaiki kerosakan trek bagi mengelak sebarang masalah ketika tiba hari perlumbaan.

"Pengguguran sukan tersebut tidak berada dalam fikiran saya tetapi peningkatan dalam mutu venue perlu ditingkatkan dalam tempoh dua bulan sebelum kejohanan bermula," katanya.

Dalam masa sama, Beng Choo berlapang dada menerima hasrat Majlis Sukan Malaysia (MSN) yang mahu beliau meneruskan khidmatnya menjelang kurang tiga bulan penganjuran Sukma Perak.

"Jika perlu, saya akan meletakkan jawatan. Saya tidak mahu berada dalam situasi yang kurang selesa. Buat masa ini, saya akan terus menjalankan tugas sehingga sebarang keputusan dilakukan."