Jurulatih negara, Chiew Chun Yong, tampak mahu menjadikan Kejohanan Futsal AFF 2018 di Indonesia, November depan, sebagai medan menghapuskan badi dengan Thailand setelah tiga kali dikecewakan seteru utama itu tahun lalu.

Skuad futsal negara bertemu Thailand selaku pasukan handalan Asia sebanyak tiga kali dalam aksi kompetitif tahun lalu.

Pertemuan pertama menyaksikan anak buah Chun Yong tumpas 4-3 dalam aksi final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sekali gus kempunan meraih pingat emas.

Ia disusuli kekalahan kedua 6-3 dalam aksi peringkat kumpulan Kejohanan AFF di Vietnam sebelum kecundang 4-3 dalam aksi final kejohanan yang sama pada Oktober dan November 2017.

Dijangka akan melakukan perhitungan sekali lagi untuk saingan tahun ini, Chun Yong mahu pemain-pemainnya tampil bersemangat untuk menebus kehampaan lalu.

"Sudah tentu kami menuju ke saingan Kejohanan AFF dengan sasaran. Jadi, kami meletakkan separuh akhir sebagai sasaran, kemudian akan lihat siapa lawan kami.

"Sememangnya kami mahu ke final selepas tewas di tangan Thailand tahun lalu," kata Chun Yong.

Skuad futsal kebangsaan kembali berkumpul di Wisma FAM sejak minggu lalu sejurus tamat saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK), bulan lalu.

Tatkala mereka kini giat menjalani latihan untuk pemilihan ke skuad akhir, barisan pemain negara bakal diuji beberapa negara dan kelab sebagai persiapan mantap untuk ke kejohanan itu.

"Hari ini, kami berada dalam fasa kedua untuk melakukan persiapan buat saingan AFF. Saya memiliki 16 pemain dalam skuad dan akan menerima tambahan empat nama selepas mereka menamatkan aksi Sukan Malaysia (Sukma)."