Tempat ketiga dalam Kejohanan Kelayakan Sukan Para Asia di Bangkok, Mac lalu, masih belum meletakkan skuad bola keranjang berkerusi roda negara di tahap memuaskan bagi memastikan kedudukan lima terbaik mampu diraih di Jakarta.

Itu merupakan sasaran ketua jurulatih, Lim Ming Lip, terhadap anak buahnya bagi memperbaiki pencapaian Sukan Para Asia Incheon empat tahun lalu apabila meraih tempat keenam.

Namun, ia bukan mudah untuk memperbaiki kedudukan lima terbaik selepas kembali menilai prestasi mereka dalam saingan kelayakan Mac lalu bagi mengesahkan slot ke Sukan Para Asia Jakarta-Palembang, Oktober depan.

Peningkatan prestasi yang ditampilkan oleh China dan Thailand sendiri tidak dapat dinafikan tatkala kekuatan pemain Malaysia masih lagi di tahap sederhana.

"Dalam aksi kelayakan, kami mempamerkan peningkatan tetapi daripada segi aksi getir yang akan dihadapi nanti, mental pemain akan membuatkan mereka tidak yakin sehingga mampu memberi kesan kepada permainan.

"Kami kembali ke sini untuk sesi latihan dan cuba memperbaiki situasi itu," katanya.

Mereka dijangka bakal menghadapi kejohanan jemputan di Korea Selatan pada akhir bulan depan sebagai persiapan awal.

Latihan intensif di China pula masih lagi dalam perancangan, bergantung kepada peruntukan yang disediakan untuk mereka.

"Sebelum ini, kami cuba dapatkan latihan di China kerana berhasrat menjadikan mereka sebagai rakan tentangan bagi menguji kekuatan dan ia dijangka pada Julai. Bagaimanapun, ia masih belum pasti atas sebab kewangan."