Bekas pemain kebangsaan memainkan peranan utama dalam membangunkan semula sukan bola keranjang lelaki apabila menjadi sebahagian daripada penganjuran liga bertaraf profesional yang pertama di Malaysia, MPL.

Musim pertama MPL yang bersifat percubaan sebelum penganjuran penuh pada 2018 menampilkan lima pasukan tempatan dan satu pasukan dari Filipina.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan seperti B. Guganeswaran, Ooi Ban Sin dan John Ng antara yang mewarnai liga tersebut.

"Bagi saya ia bagus kerana boleh nampak bakat-bakat baru, di mana ia juga bekas pemain kebangsaan boleh membantu pemain-pemain muda," kata seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Izran Edika Kamarudin.

Dia yang pernah beraksi bersama mereka berkongsi pandangan mengenai tarikan yang dihasilkan oleh golongan veteran dalam membantu penganjuran MPL.

Edika yang akan beraksi bersama Akademi KL Dragons bagi saingan MPL turut berasakan bahawa skuad kebangsaan yang mengalami kekecewaan besar di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan menikmati hasil daripada liga yang akan membuka tirai pada 13 Oktober ini.

"Ia sebagai pendedahan kerana mereka tidak banyak pengalaman. Mereka tidak berada dalam detik-detik sengit, mereka terlampau terburu-buru dan buat banyak kesilapan.

“Kita nampak, pasukan Thailand begitu berpengalaman kerana liga mereka agak bagus. Indonesia juga mempunyai liga yang bagus. Jadi, ini adalah permulaan yang baik untuk Malaysia," tambahnya.