Beasley: Beri tempoh dua tahun

Oleh Staff Writer 16 Julai 2018 1298
Beasley: Beri tempoh dua tahun
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, meminta tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk Farina Shawati Adnan dan Anis Amira Rosidi menyaingi Fatehah Mustapa tatkala prestasi pelumba lelaki lebih meyakinkan untuk memburu pingat Sukan Asia 2018 bulan depan.

Beasley mempertahankan tindakan untuk memilih dua pelumba muda wanita ke Indonesia berbanding menyenaraikan nama Fatehah.

Pengendali kelahiran Astralia itu mempunyai perancangan jangka  panjang memandangkan Fatehah kini sudah berusia 29 tahun.

"Mereka semakin berkembang dan dalam masa sama, mereka mempamerkan peningkatan selepas beberapa tahun. 

"Anda boleh lihat pada hari ini dan dalam masa beberapa tahun, mereka akan menjadi lebih pantas. Cuma, kita harus bersabar," kata Beasley.

Bagi pelumba lelaki, tugas meraih pingat boleh diletakkan dalam acara keirin, pecut dan pecut berpasukan yang turut membabitkan pelumba muda seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis.

"Setiap kali berlumba, saya akan cuba perkara baru. Jadi, apabila mendapati ia tidak sesuai dengan dengan saya, saya akan belajar. Ia menjadi sebahagian daripada persiapan kami," kata Shah Firdaus.

"Saya adalah antara atlet senior dalam pasukan, jadi ini menjadi salah satu tanggungjawab saya. Ia juga bertujuan untuk memastikan barisan pelapis terus berkembang," tambah jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen