Terkilan. Itu perasaan bekas pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek, apabila nama bapanya dipersenda umpama kambing oleh satu rancangan komedi "Sukan Tak Sentral" terbitan sebuah stesen televisyen swasta malam tadi.

Rancangan parodi ini menampilkan pengacara, Azizul Ammar, Marsha Milan Londoh dan Mark Adam.

Watson dalam muat naik status Facebooknya mengaku telah menonton video yang menjadi tular itu.

"Orang hina saya miskin, bankrap, tak ada apa... saya terima.

"Nak ketawakan saya...apa boleh buat,nasib kita macam tu.

"Tetapi bapa saya bukan 'binatang' untuk dipersendakan," tulisnya.

Secara sinis, Watson bertanya kepada stesen tersebut: " Nak tanya sikit kepada stesen terbabit ... pernahkah saya buat salah kepada kamu orang???

"Buat macam itu, ingat kita tak ada perasaankah ... lepas tu minta maaf?? Satu sen pun saya tidak pernah berhutang pada pihak stesen!

"Nak shooting pun, free juga saya kasih (beri) sebelum ini. Tak pernah minta bayar! Saya bukan mata duitan walaupun miskin!

Katanya, isterinya sebagai jurulatih paralimpik Sarawak pun tidak mahu sesiapa mempersendakan golongan OKU atau cacat.

Watson sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penerbit dan stesen berkenaan.

Katanya, sepanjang karier sebagai ahli sukan sehingga sekarang, tidak pernah mana-mana media membuat penghinaan terlalu peribadi terhadapnya, khususnya melibatkan mendiang bapanya.

"Saya tidak tahu motif sebenar stesen televisyen tersebut tetapi ini satu penghinaan kepada bapa saya.

"Stesen televisyen sepatutnya peka dengan sensitiviti masyarakat dan individu, terutama sekali yang telah meninggal dunia," tambahnya.

Sementara itu, Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, menyifatkan penerbitan slot itu sebagai biadab dan tidak sensitif.

"Sungguh biadab dan kurang ajar. Tidak sensitif. Saya hairan bagaimana dia ini (Azizul Ammar) boleh diambil bekerja dalam bidang media ini?

"Mempersendakan nama seseorang amatlah tidak baik dan kurang bertamadun."

Sedutan video tersebut kemudian menjadi tular dan netizen, terutama dari Sarawak, menyerang balas dengan mengutuk penerbitan tersebut.

Karim yang nyata kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu kemudian menyarankan pihak terbabit memohon maaf secara terbuka.

"Harap stesen televisyen dan pengacara ini memohon maaf kepada Watson dan keluarga beliau," katanya.

Petang tadi, Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios) dalam satu kenyataan kepada media membuat permohonan maaf kepada Watson.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Izham Omar, pihaknya sudah memberi peringatan kepada semua kakitangan Primeworks Studios agar sentiasa peka dan sensitif dalam setiap rancangan yang diterbitkan.

"Pihak kami juga akan membuat kajian semula terhadap kaedah serta kerja operasi bagi mengelak kejadian ini berulang.

Kejadian ini, katanya, memberi pengajaran kepada pihaknya untuk lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Katanya, pihaknya sangat menghormati bekas pelari pecut negara itu, ayah serta keluarganya.

"Watson adalah seorang pelari pecut negara serta atlet yang banyak berjasa dan mengharumkan nama negara.

"Pihak kami dengan rendah diri memohon maaf di atas kesilapan kami dan memastikan perkara seperti ini tidak akan berulang lagi."