Pelari pecut negara, S. Komalam Shally, yakin bantuan pengarah teknikal baru Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Dwayne Miller, mampu meningkatkan taraf prestasinya apabila ingin memulakan tahun 2020 dengan mencatat masa peribadi terbaik yang baru.

Sebelum ini, skuad olahraga negara hanya mampu meraih lima pingat emas, sembilan perak dan tujuh gangsa dalam Sukan SEA di Filipina, Disember lalu.

Daripada kem wanita kebangsaan, hanya Yap Sean Yee berjaya meraih emas menerusi acara lompat tinggi.

Bagaimanapun, semangat Komalam Shally tidak pudar dan fokusnya kini tertumpu terhadap misi mencatat masa peribadi yang lebih baik berbanding musim lalu.

"Sasaran tahun ini saya mahu pecahkan catatan terbaik peribadi 11.57 saat yang dilakukan di Perlis pada 2017. Kini saya menerima bimbingan Miller, ia membuatkan saya yakin," katanya.

Dia juga menambah penglibatan Miller dalam sesi latihan memberinya keyakinan bahawa dia mampu mencatat masa peribadi yang lebih baik tahun ini.

"Salah satu kejohanan tahun ini melibatkan banyak saingan besar, namun sasaran awal adalah catatan peribadi. Untuk Sukan SEA tahun depan, saya mempunyai motivasi dan jurulatih yang baik, jadi ia tidak merisaukan saya."



Editor: Nafis Abdullah